16 Ogos 2024
11 Safar 1446H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka hadir menyaksikan Persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan Lambang Sari Series 3: Kita Jiwa Merdeka Anjuran Istana Budaya & Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka.
Turut hadir YB. Datuk Zaidi bin Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.
Program ini membawakan persembahan muzik klasikal pop bertemakan patriotik seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta turut memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024. Persembahan berkonsepkan muzik orkestra oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang menggabungkan elemen nyanyian, lakonan, tari, pencahayaan dan visual dalam bentuk theatrical, transformasi negara dari sebelum mencapai kemerdekaan sehingga kini.
Persembahan berdurasi 1 jam 30 minit ini menyaksikan keunikan hasil garapan pengarah persembahan Mohd Zulfaqar Awaluddin atau mesra dikenali sebagai Belalang dengan mengangkat penceritaan melalui peredaran era muzik sebagai simbolik mencerminkan perjalanan sejarah dan semangat kemerdekaan negara. Setiap segmen akan disokong dengan visual dan pencahayaan selain dari nyanyian, muzik, tari dan lakonan serta terbahagi kepada beberapa segmen yang akan menggambarkan setiap era dan juga mesej yang tertentu bersesuaian mengikut tema.
Turut memperkuatkan lagi jalan cerita persembahan ini adalah pemilihan lagu yang berunsurkan patriotisme dengan gabungan nyanyian suara daripada artis jemputan seperti Liza Hanim, Azlan & Typewriter, Asmidar dan Azizul Haqim serta diselang seli dengan persembahan tarian oleh Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA).
Antara lagu yang dipersembahkan ialah Kancing Suasa, Malam Bulan Di Pagar Bintang, Fantasia Bulan Madu, Keroncong Alunan Biola, Bahtera Merdeka, Gemuruh dan Sejahtera Malaysia sambal diiringi 58 pemuzik OSK termasuk pemuzik jemputan yang diketuai Nasran Nawi selaku konduktor persembahan.