25 Ogos 2024
20 Safar 1446H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman hadir ke Istiadat Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama dan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sesi Pertama dan Kedua Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75.
Dalam ucapan TYT Tun Seri Setia mengambil kesempatan untuk menyembahkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sempena Pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
TYT Tun Seri Setia juga menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas kejadian banjir yang berlaku di kawasan Masjid Tanah dan sekitar Alor Gajah baru-baru ini serta mengucapkan syabas dan terima kasih di atas tindakan pantas kerajaan negeri dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas terutamanya urusan perpindahan, penyaluran sumbangan dan bantuan makanan serta terkini urusan pembersihan pasca banjir.
TYT Tun Seri Setia turut memberikan ucapan penghargaan juga diberikan kepada semua petugas, sukarelawan dan semua pihak yang bertungkus lumus membantu dan menyantuni mangsa-mangsa yang terlibat serta berharap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan projek-projek rancangan tebatan banjir di kawasan Alor Gajah khasnya dan seluruh Negeri Melaka amnya mengikut jadual yang telah ditetapkan.
TYT Tun Seri Setia juga amat berharap agar seluruh rakyat Melaka terus berusaha untuk menjaga keharmonian antara kaum supaya Negeri Melaka terus berada dalam keadaan aman damai dan terus maju. TYT Tun Seri Setia juga mengingatkan walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara, mereka tidak boleh mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang akan merosakkan rasa muhibbah dan perpaduan sesama rakyat.
Di akhir ucapan TYT Tun Seri Setia menyatakan tahniah dah syabas kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh kerana Negeri Melaka telah menerima seramai 8.7 juta pelancong dan pengunjung bagi tempoh Januari hingga Julai 2024.
TYT Tun Seri Setia juga berharap agar semua kemudahan infrastruktur dan prasarana terutama di kawasan-kawasan daya tarikan pelancong mestilah berada dalam keadaan lengkap dan baik. Begitu juga dari aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan di kawasan-kawasan tersebut perlulah sentiasa dijaga dan diurus sebaik mungkin kerana faktor-faktor ini akan mencerminkan imej baik Negeri Melaka.