24 Disember 2024
22 Jamadilakhir 1446H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa nahas jalan raya yang telah mengorbankan tujuh orang di KM 204, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Alor Gajah, Melaka malam semalam.
TYT Tun Seri Setia turut bertemu dengan ahli keluarga dan waris mangsa terkorban di Bahagian Forensik Hospital Melaka, serta menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kejadian maut tersebut.
Ketibaan TYT Tun Seri Setia di Hospital Melaka disambut oleh YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital dan YBrs. Dr. Shahrum bin Hj. Arshad, Pengarah Hospital Melaka.
TYT Tun Seri Setia turut menziarahi mangsa-mangsa kemalangan yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Melaka serta turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa-mangsa.
Nahas yang melibatkan sebuah bas persiaran, sebuah kenderaan MPV dan dua buah lori ini telah mengorbankan lima sekeluarga dalam sebuah MPV termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Manakala, dua lagi mangsa yang maut adalah pemandu bas dan seorang penumpang bas persiaran.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mangsa-mangsa yang terkorban dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang beriman. Aameen.
Al-Fatihah.