1 November 2023
16 Rabiulakhir 1445H
TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman menghadiri Majlis Festival Warisan dan Pelancongan Melaka – Pahang 2023 yang berlangsung di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir, Melaka.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut bersama delegasi dari Pahang yang diketuai oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang serta Barisan EXCO Negeri Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Pahang.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku disambut oleh TYT Tun Seri Setia dan YABhg. Toh Puan; YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka; YB Datuk Wira Ibrahim bin Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri; YB Datuk Wira Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Datuk Rais bin Datuk Wira Yasin, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka; YB. Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya; YB Dr. Muhamad Akmal Saleh, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri; YB. Datuk Hjh Kalsom bin Noordin, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti; YB. Tuan Fairul Nizam bin Roslan, EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri Melaka.
Festival ini merupakan program lintasan budaya antara kedua negeri yang julung-julung kali diadakan bagi menzahirkan ucapan sembah kasih sayang terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-16 pada Januari tahun hadapan.
Festival silang budaya ini juga bertujuan bagi memartabatkan lagi seni, budaya serta warisan kedua-dua buah negeri yang memiliki hubungan sejarah yang sangat rapat sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.