13 Mac 2023
20 Syaaban 1444H
TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman berangkat bagi menghadiri Istiadat Kawalan Kehormatan serta Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas Tahun 2023.
Dalam ucapan perasmian TYT Tun Seri Setia turut menegaskan kesejahteraan rakyat Melaka memerlukan tumpuan ahli-ahli Yang Berhormat dalam menyelesaikan segala permasalahan. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri perlulah sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni agar menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat umum dan mencerminkan kematangan pemimpin. Setiap perbalahan hanya akan merugikan semua pihak. Sebaik-baiknya perbezaan pendapat yang ada ditransformasikan menjadi landasan ke arah kerjasama satu pasukan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan Negeri Melaka yang tercinta.
TYT Tun Seri Setia turut menaruh harapan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini dapat berjalan dengan teratur, matang dan sempurna serta dengan penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain, tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing dengan semangat perpaduan.