13 Mei 2023
22 Syawal 1444H
TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka hadir sekaligus menyempurnakan Perasmian Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dekat Banda Hilir, Melaka.
Kehadiran TYT Tun Seri Setia disambut oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan; YBhg. Datuk M Noor Azman Bin Taib, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT); YB Datuk Rais Yasin, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana yang mewakili Ketua Menteri Melaka; YAS. Dato’ Abdul Wahab bin Mat Yasin, Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); YS PPjB Abu Bakar bin Katain, Pengarah JBPM Negeri Melaka serta pengurusan tertinggi JBPM.
Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia setiap 4 Mei di seluruh dunia merupakan satu acara penuh simbolik bagi memperingati dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti yang diberikan anggota bomba di seluruh dunia.
Sebanyak 30 kontinjen dan 54 unit jentera membabitkan 1,330 peserta menjayakan sambutan dan perarakan hari ini.
Pantomim lakonan semula detik akhir anggota bomba, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang terkorban ketika operasi penyelamatan merupakan antara persembahan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Pahlawan, hari ini.
Turut dipersembahkan, gimik operasi penyelamatan seorang kanak-kanak yang terperangkap akibat tanah runtuh. Kemudiannya diteruskan dengan perarakan kontinjen, aset-aset JBPM dan pertunjukan persembahan kebombaan termasuk ‘Abam Sado’ serta pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).