
9 Julai 2025
13 Muharram 1447H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka mengadakan lawatan ke Program Akademi Karate Malaysia yang diadakan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, Melaka.
Dalam lawatan ini, TYT Tun Seri Setia turut menyampaikan ucapan bagi memberi semangat kepada semua 135 atlet yang menyertai. Dalam ucapan tersebut TYT Tun Seri Setia menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta Program Akademi Karate Malaysia yang menyertai kerana telah membuktikan bahawa semangat untuk berjaya masih membara dalam diri generasi muda.
TYT Tun Seri Setia turut mengingatkan kejayaan tidak datang dari bakatsemata-mata, tetapi dari disiplin, semangat yang kental dan kepercayaan pada diri sendiri serta jangan sesekali gentar dengan cabaran, kerana setiap halangan yang dihadapi adalah batu loncatan untuk menjadi lebih kuat, lebih matang, dan lebih bersedia untuk menempah nama di persada antarabangsa.
Semasa ucapan penutup TYT Tun Seri Setia menyeru agar jadilah atlet yang bukan hanya kuat pukulannya, tetapi luhur akhlaknya, jadilah pejuang yang bukan hanya mengejar kemenangan, tetap juga menjaga maruah sukan dan negara serta berharap semoga Program Akademi Karate Malaysia ini menjadi batu asas kepada kejayaan yang lebih gemilang di masa akan datang.
Lawatan ini turut dihadiri YBhg. Datuk Wira Haji Nur Azmi Ahmad, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF); YBhg. Datuk M Paneerselvam, Naib Presiden 1 MAKAF; Encik Hanshi Shamsudin Sheikh Ali Sayabo, Naib Presiden 3 MAKAF merangkap Timbalan Presiden Akademi Persekutuan Karate Malaysia Negeri Sembilan; Mr. Renshi Wrickrama Suriya, Naib Presiden 5 MAKAF; Mr. Shihan Alexander Arlanthu, Exco dan Pengerusi Bakat Persekutuan Karate Malaysia; YBrs. Encik Mohamad Nizam bin Abu Talib, Pengurus Kompleks MSN Saujana Asahan; YBrs. Encik Muhammad Fakrurrazzi bin Basrah, Pengurus Sukan Karate Cawangan Bakat MSN dan YDH. ASP Mohd Fuad bin Ali, Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Daerah Jasin.



