
DAULAT TUANKU
DIRGAHAYU TUANKU
17 April 2025
18 Syawal 1446H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman hadir ke Majlis Santapan Diraja Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis yang berlangsung di Istana Arau, Perlis.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin lbni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis berangkat ke Majlis Santapan Diraja itu bersama DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis. Berangkat sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis serta Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Majlis Santapan Diraja diserikan dengan keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Raja-Raja Melayu, Permaisuri-Permaisuri, serta Yang di-Pertua Negeri.
Antara wakil Kerajaan Persekutuan yang menghadiri Majlis Santapan Diraja ialah YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I, dan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri lI. Turut hadir sama YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis.
Sambutan Jubli Perak akan berlangsung selama setahun sehingga 16 April tahun depan. Terdapat beberapa acara utama yang menarik tersedia selain majlis santapan itu sebagai pengisian sambutan berkenaan antaranya Majlis Perasmian Mercu Tanda Bulatan Padang Besar, majlis pecah tanah untuk membina Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025,Persembahan Kesenian dan Orkestra Diraja, Tayangan Wayang Pacak untuk rakyat Perlis dan Istiadat Perarakan Panji-Panji Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja.
Untuk rekod, DYMM Tuanku Raja Perlis diputerakan di Bandar Diraja Arau pada tanggal 17 Mei 1943 dan baginda menjalin ikatan perkahwinan dengan Tuanku Tengku Fauziah pada 15 Fetbruari 1967.
Daripada segi pendidikan, peringkat sekolah menengah DYMM Tuanku Raja Perlis bermula di Penang Free School kemudian baginda menyambung pengajian di Wellingborough Public School, England sehingga 1963 iaitu kira-kira tiga tahun selepas baginda dilantik sebagai Raja Muda Perlis pada 30 Oktober 1960.
DYMM Tuanku Raja Perlis juga mempunyai pengetahuan luas dalam bidang ketenteraan apabila pernah menjadi pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah panji-panji Kor Peninjau Diraja yang kini dikenali Kor Armor Diraja. Pada waktu itu, baginda bertugas di Kem Batu Lima, Mentakab Pahang seterusnya di Sabah pada 1966 dan Sarawak pada 1967. Baginda melalui sendiri pahit manis memperjuangkan kedaulatan tanah tumpah negara tercinta ketika konfrontasi, peristiwa 13 Mei dan juga darurat menentang komunis.
Baginda dinaikkan ke pangkat Leftenan sebelum Baginda mengakhiri tugas dalam ATM pada 31 Disember 1969 untuk membolehkan baginda melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya sebagai Raja Muda Perlis dan seterusnya dimasyhurkan menjadi Raja Perlis pada 17 April 2000.
Pada 25 April 2002, DYMM Tuanku Raja Perlis telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-12.
Sebagai DYMM Tuanku Raja Perlis, Baginda sangat menitikberatkan rakyat di Perlis berpegang teguh dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dan Baginda sering kali mengingatkan mereka untuk menjalani kehidupan bersandarkan kepada kitab suci Al-Quran.


