
25 April 2025
26 Syawal 1446H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman berangkat bagi menghadiri Istiadat Kawalan Kehormatan Utama serta Merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas Tahun 2025.
Dalam ucapan perasmian TYT Tun Seri Setia antara lainnya merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima atas pemergian beliau ke rahmatullah pada tanggal 14 April 2025 yang lalu.
TYT Tun Seri Setia menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kerana Negeri Melaka bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka terus bergerak maju dan mencipta pelbagai pencapaian yang membanggakan.
TYT Tun Seri Setia turut berharap kerjasama dan komitmen semua pihak termasuklah Jabatan dan Agensi Kerajaan, pihak Swasta dan juga seluruh rakyat Melaka bagi memastikan Negeri Melaka akan terus maju. Kemakmuran dan keselamatan yang sedang dinikmati ini tidak mampu dicapai tanpa koordinasi dan persefahaman semua pihak.


