
19 Julai 2025
23 Muharram 1447H
Merafak sembah takzim setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj atas persilaan kepada TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam melawat Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Klang, Selangor Darul Ehsan.
DYMM Tuanku turut mencemar duli berangkat ke Galeri Diraja serta berkenan menyampaikan pengisahan kepada TYT Tun Seri Setia sejarah di sebalik bahan-bahan pameran yang ada di galeri tersebut yang merupakan koleksi peribadi ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.
Hadir sama YAM Tengku Abdul Samad Alhaj, Tengku Panglima Besar Selangor; Y.A.D. Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj bin Tengku Azman Shah Alhaj, Pengerusi Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan ahli-ahli Kerabat Diraja Selangor yang lain.



