
20 Julai 2025
24 Muharram 1447H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka hadir menyempurnakan Perasmian Penutup Pertandingan Gasing Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2025 yang diadakan di Gelanggang Gasing Delima, Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Melaka.
Kira-kira 100 peserta daripada 16 pasukan termasuk wakil dari negara Indonesia, Thailand, Singapura dan peserta daripada seluruh Malaysia berentap selama 3 hari di sini.
Pertandingan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk mencetuskan minat bagi permainan gasing diperingkat nasional mahupun antarabangsa. Usaha seperti ini perlu terus dipergiat untuk menghidupkan seni permainan tradisional Melayu khususnya permainan gasing pangkah bagi memastikan warisan ini tidak hilang ditelan zaman.
Sementara itu beberapa ketua pasukan gasing dari luar negara memuji inisiatif DMDI mempromosi permainan tradisional bagi memartabatkan permainan gasing menerusi pertandingan antarabangsa seperti ini.
Selepas menyempurnakan perasmian penutup, TYT Tun Seri Setia turut menyaksikan perlawanan akhir antara pasukan Selangor menentang pasukan Melaka yang telah berlangsung dengan penuh sengit.
Tahniah kepada pasukan Selangor yang telah muncul sebagai juara untuk Pertandingan Gasing Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2025 edisi pertama ini.
Turut hadir YB Datuk Rahmad Bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Hal Ehwal Islam merangkap ADUN Ayer Molek; YBhg. Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Haji Mohd Jamil Bin Mukmin, Naib Pengerusi DMDI; YBhg. Datuk Mohd Ridhwan Bin Mohd Ali, Pengerusi Yayasan DMDI; YBrs. Cik Ezlina Binti Alias, Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Melaka dan YBhg. Datuk Haji Abu Bakar Bin Abdul selaku Pengerusi pertandingan.



